Saturday, October 9, 2010

Memahami Isu 'Rasis' Di Sebalik Pasal 153


Amat menarik sekali apabila kita mengenangkan begitu banyak pihak yang merujuk Fasal 153 Perlembagaan ketika memperkatakan hal-hal hak keistimewaan orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak. Sebelum berganjak daripada hakikat ini, elok juga disebutkan bahawa Fasal 153 juga menjamin hak bukan Melayu/Pribumi menghayati apa yang telah mereka hayati selama ini.

Fasal 153 juga boleh diibaratkan seperti serampang dua mata atau pisau yang tajam dua belah. Disamping menjamin hak-hak Melayu/Pribumi secara langsung, ia mempastikan bahawa tiada undang-undang yang boleh dibuat bagi menjejas atau menghakiskan apa yang sudah dihayati oleh bukan Melayu/Pribumi dalam semua lapangan.

Mengkaji Fasal ini membawa kita kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk dan segala permasaalahannya dalam sinario sebuah negara. Di suatu peringkat, soal-soal berkenaan kuota peratusan Melayu/Pribumi dalam universiti diperuntukkan, dan di peringkat lain pula kuota dan jumlah permit/lesen Melayu/Pribumi, berbanding dengan etnik lain, dalam pelbagai aspek perniagaan, diberikan jaminan.

Peruntukan perlembagaan atau mana-mana undang-undang di seantero dunia kini diberikan interpretasi menurut pertama, bahasa dan pengertian biasa bagaimana sesuatu undang-undang ditulis, dan kedua, sekiranya yang pertama itu masih lagi tidak jelas, konsep teleological dipakai. Teleological atau sinominnya purposive ialah pendekatan yang menekankan apakah maksud asal disebalik sesuatu undang-undang itu dibuat.

Ini dengan sendirinya membawa kita kepada suatu masa dan sinario, mungkin berdekad dan berpuluh tahun dulu, ketika berlakunya sesuatu perkembangan sosial-budaya, ekonomi dan politik yang memungkinkan sesuatu peruntukan undang-undang digubalkan. Undang-undang, seperti juga dalam hal-hal lain, tidak wujud dalam kekosongan. Ia terangkum dalam hukum sebab-akibat yang lebih luas.


No comments:

Post a Comment